Thursday, July 22, 2010

najib putar belit...

100,000 pengawal cari kerja lain
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2010/07/23
Ramai jaga warga tempatan berhenti sejak 2007 kerana gaji terlalu rendah

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan lebih 100,000 pengawal keselamatan warga tempatan berhenti secara berperingkat sejak 2007 untuk mencari pekerjaan lain selepas gaji minimum baru untuk sektor itu masih belum ditetapkan.
Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, menyifatkan situasi itu kini berada pada tahap serius kerana kekosongan jawatan terbabit mula dipenuhi oleh warga Nepal yang memasuki ke negara ini dari semasa ke semasa walaupun kerajaan dalam usaha mengurangkan tenaga kerja asing.
Beliau berkata, sejak empat tahun lalu dan sehingga kini, kesatuan itu secara berterusan menerima aduan daripada pengawal keselamatan khususnya mereka yang bekerja di kawasan luar bandar, yang mereka hanya dibayar gaji asas RM300 hingga RM550 sebulan untuk tempoh 12 jam bekerja sehari.

“MTUC juga menerima aduan daripada pengawal keselamatan yang menerima gaji asas RM300 walaupun bekerja selama 12 jam sehari. Ada antara mereka sudah bekerja lebih 10 tahun dalam sektor berkenaan.

“Kebanyakan pengawal keselamatan ini bertugas di sektor perkilangan, pejabat swasta, premis kerajaan, perladangan, perumahan dan institusi pendidikan. Ramai tidak tahu mengenai perkara ini tetapi MTUC sering menerima rintihan daripada golongan ini.

“Mereka meninggalkan pekerjaan mereka bukan kerana malas bekerja tetapi kecewa dengan jumlah gaji yang diterima dan menaruh harapan yang besar terhadap gaji minimum. Tetapi sehingga kini tiada sebarang berita gembira mengenainya lagi,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Bulan lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pelaksanaan gaji minimum baru untuk pengawal keselamatan yang dijadualkan pada 1 Julai ini ditangguhkan sementara bagi memberi lebih masa kepada pihak industri berkenaan mengemas kini operasi mereka.

Penangguhan sementara pelaksanaan gaji minimum di bawah Perintah Peraturan Gaji Minimum Pengawal Keselamatan Swasta bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak dibuat selepas meneliti rayuan dan maklum balas daripada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia.

Dalam pada itu, Balasubramaniam berkata, kebanyakan pengawal keselamatan yang meninggalkan pekerjaan mereka kini bekerja di stesen minyak, industri perhotelan, berniaga secara kecil-kecilan dan memandu teksi.

Sementara itu, Azlan dari Sarawak, berkata dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di ibu negara selama setahun dan menerima gaji asas RM750.

“Saya hanya menerima gaji asas tanpa imbuhan lain seperti potongan insurans, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau PERKESO. Amat sukar untuk saya meneruskan kerja ini. Bayangkan, saya tidak mendapat imbuhan yang lain tetapi perlu bekerja 12 jam. Apakah jaminan yang ada pada saya, majikan pun sering memberi alasan saja,” katanya yang sudah berhenti dan kini bekerja dalam bidang lain.

Abdullah Jusof, 57, dari Kelantan berkata, beliau pernah berkhidmat sebagai pengawal keselamatan selama lima tahun dan menerima gaji asas sekitar RM700.
“Pada tahun pertama dan kedua berkhidmat, saya menerima gaji asas sebanyak RM500 kemudian meningkat kepada RM600 manakala waktu bekerja adalah selama 12 jam.

“Saya berhenti kerana gaji yang ditawarkan amat rendah dan kemudian menerima tawaran lain sebagai pengawal keselamatan juga. Tetapi, gajinya juga sekitar RM600 dengan tempoh bekerja lebih 12 jam sehari. Gaji ini sangat rendah,” katanya yang menolak tawaran itu dan kini bekerja di kampung.